Rabu, 31 Oktober 2012

Pindang Serani Ibu Kerisi




PINDANG SERANI IBU KERISI


Bahannya:
5 keping ikan kerisi
1 batang bunga kantan(belah 4)
1biji tomato(belah 4)
1batang serai (diketuk)
kacang bendi secukupnya
air limau @ asam keping secukupnya
1biji bawang holland (dipotong kasar)
garam dan perasa secukupnya
minyak untuk menumis

Bahan dikisar:
10tangkai lada merah
3 ulas bawang putih
sedikit belacan
2in halia
1in kunyit basah

Caranya:
1.Panaskan minyak dan masukkan serai.
2. Tumis bahan kisar hingga wangi dan garing.
3. Masukkan air,ikan dan air limau @ asam keping, biar hingga mendidih.
4. Masukkan garam,  bunga kantan, kacang bendi dan perasa, biar hingga masak dan mendidih.
5. Masukkan bawang holland dan tomato, biarkan sekejap kemudian tutup api.






Ketam Masak Sos Cili Thai




Assalamualaikum. Masak apa hari ni?. Saya 'mengetam' hari ni sbb....ada permintaan!!!!. Walaupun ada yg tak boleh makan, jamah jamah je lah ye!!!





KETAM MASAK SOS CILI THAI

Bahan A:
5 ekor ketam (dibersihkan dan dibelah 2)
( * dilumurkan dengan sedikit garam, sedikit tepung jagung dan telur, goreng hingga masak dan ketepikan)

Bahan B (ditumbuk)
2 tangkai lada merah
3 ulas bawang putih
sedikit halia

Bahan C:
4sb sos cili thai
1sb margerin
sedikit air
1 tangkai lada merah (dihiris kasar)
5 tangkai cili padi (dihiris kasar)
lobak merah secukupnya (dihiris memanjang)
epal hijau secukupnya (dihiris memanjang)
bijan hitam secukupnya


Caranya:
1. Panaskan  margerin dan tumis bahan B hingga garing.
2. Masukkan sos cili thai dan sedikit air, biar mendidih.
3. Masukkan lada merah,cili padi,bijan dan lobak merah, gaul rata .
4. Rasakan masin, masam dan manis....bila dah ok, masukkan epal, gaul rata dan tutup api.
5. Jirus sos yg dah masak tadi atas ketam.


SELAMAT MENCUBA





Labu Goreng Berbadam

                                         Emmmm........terasa lemak dan rangup badam tu!!!!!!

                                      








Assalamualaikum.....hari ini saya nak kongsi satu resepi yang senang dan sedap. Nampak macam kuih bom bijan kan?. Ala ala bom bijan tapi kejadiannya dan bahannya lain sikit. Saya guna labu kuning, inti kacang merah dan diluar digolek ngan badam cincang. Bila makan.....terasa rangup dan lemak badam tu. Memang best. Resepi ni saya terjumpa dalam satu buku masakan yg saya terlupa nk catit apa nama buku tu. Bila dibelek2 buku tu.....saye hanya berkenan 2 resepi je so, tak jadi nk beli buku tu. Tapi dalam resepi tu dia guna ubi keledek purple dan sukatannya pun saya ubah sebab adunannye terlalu lembik (mungkin saya guna labu kot!). Jom kita intai resepi yg dah ditokok tambah ni.......


LABU GORENG BERBADAM
Resepi Olahan : UDA


Bahannya:
120gm labu kuning (direbus dan dilecek halus)
15gm gula halus
10gm butter/margerin
1sb susu tepung
140gm tepung pulut (kalau adunan  lembik, tambah sikit lagi)
badam cincang secukupnya
inti kacang merah secukupnya
1bj telur putih

Caranya:
1. Dalam bekas, satukan labu, gula, butter dan susu. Gaul sebati, kemudian masukkan tepung sikit2 hinga adunan licin dan boleh dibentuk. Jika masih lembik, tambah sikit lagi tepung pulut.
2. Ambil  sedikit adunan, leperkan dan masukkan inti kacang merah. Tutup inti tu dan kemaskan adunan tu (sama caranya membuat kuih bom bijan).
3. Golekkan bebola adunan tu kedalam putih telur dan golekkan semula ke dalam badam cincang.
Pastikan badam tu betul2 melekat kat bebola tu supaya bila goreng, badam tak tertanggal.
4. Goreng didalam minyak yg banyak supaya cantik kejadiannye dan goreng hingga keperangan.


SELAMAT MENCUBA



Puding Karamel Keledek




Assalamualaikum. Bila cuaca panas mcm ni, nak mkn yg sejuk dan lembut je kat tekak. Teringat.....nak cuba buat karamel keledek ni. Tengok bahan semuanya ada....apa lagi, ligat jelah!!!!. Emmmm......sedap n lembut je....saya tambah parutan kulit limau so, ada rasa oren gitu!!!! Jom kita intai resepi ni.....


PUDING KARAMEL KELEDEK


Bahan Puding:
500gm keledek (direbus)
8 biji telur (dipukul menggunakan whisk)
1 tin susu cair
1 cawan gula pasir
1 cawan air
1sb parutan kulit limau
sedikit esen vanilla
pewarna kuning

Bahan karamel:
1/3 cawan gula pasir
3sb air
** masak gula dan air hingga keperangan kemudian masukkan dalam loyang , ketepikan.


Cara membuat puding:
1. Keledek, air dan gula dimesin halus. Masukkan dalam bekas.
2. Susu, kulit limau, vanilla, pewarna kuning dan telur, dimasukkan dalam adunan keledek tadi. Kacau rata kemudian tapis.
3. Masukkan adunan kedalam loyang yg ada karamel tadi.
4. Dalam layang berasingan, bubuh air panas mendidih dan letakkan loyang karamel tadi.
5. Bakar pada suhu 175C selama 1 jam setengah atau sehingga masak.
6. Boleh juga dikukus dan kukus sehingga bahagian tengah betul2 masak.
7. Sejukkan dahulu baru diterbalikkkan.


SELAMAT MENCUBA









Isnin, 29 Oktober 2012

Kerang Goreng Tomyam







KERANG GORENG TOMYAM

Bahannya:
2 cawan kerang yg telah direbus dan dikopek
1 batang serai (diketuk)
1sb sos cili
1sb air limau
1 kiub tomyam
minyak masak secukupnya

Bahan ditumbuk:
8tangkai cili padi
2 ulas bawang putih
sedikit halia

Bahan dihiris:
1biji bawang holland
1tangkai lada merah
1helai daun limau purut
daun bawang secukupnya

Caranya:

1. Panaskan minyak, masukkan serai dan bahan tumbuk. Masak hingga wangi.
2. Masukkan sos cili, air limau dan kiub tomyam, kacau rata dan rasakan garam (saya tk letak garam).
3.masukkan kerang dan bahan hiris, kacau sebati dan angkat.
4. Sedap dimakan panas2.

Ahad, 28 Oktober 2012

Muffin Pandan Kelapa





Assalamualaikum....lama tak 'bersiaran'. Bila hati kata 'malas'.....emmm.....dah buat, ambik gambar dan simpan dulu. Kene tunggu angin rajin baru boleh!!!!. Hari tu ada buat muffin pandan ni....sedap, lemak. Dah banyak kali gak buat sbb 'laku'.....tu yang buat lagi dan lagi....Jom sesapa yg suka kek @ muffin yg ada rasa pandan dan kelapa, leh cuba resepi ni.







MUFFIN PANDAN KELAPA
Sumber : Yatiememories

Bahannya:
125 gm butter
2 biji telur
80gm gula halus
150gm tepung naik sendiri
30gm kelapa kering
1sb serbuk santan
1/4cawan susu segar/cair
1sk pandan paste
secubit garam
sedikit kelapa kering untuk ditabur

Caranya:
1. Panaskan oven 175C, alas acuan muffin dengan paper cup.
2. Satukan tepung, kelapa kering, serbuk santan dan garam, gaul rata dan ketepikan.
3. Pukul butter dengan gula hingga kembang, masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga putih. 
4. Masukkan pandan paste, kacau rata.
5. Perlahankan speed, masukkan tepung diselang seli dengan susu cair. Kacau rata.
6. Sudukan 3/4 penuh adunan ke dalam paper cup dan tabur sedikit kelapa kering diatasnya. Bakar selama 20 - 30 minit atau hingga masak.




Rabu, 24 Oktober 2012

Cekodok Lobak Merah Berkelapa





Assalamualaikum....semuga semuanya berseri2 dan sihat sentiasa, ye lah dah nak raya. Masak apa raya ni?. Saya tak masak.....nak balik kg.....nk makan masakan mak. Insyaallah,  diharapkan semua apa yg dirancangkan, dipermudahkan. Petang tadi buat cekodok ni tuk brbuka puasa. Copy dari resepi Rahelblog. Senang je bahan nk membuatnya dan cekodok ni memang sedap. Tapi saya tambah kelapa parut dan vanilla. Memang lemak dan wangi gitu!!!. Jom kita intai resepi ni.....


CEKODOK LOBAK MERAH BERKELAPA
Sumber : Rahelblog
Olahan : UDA

Bahannya:
1 batang lobak merah (180gm) dipotong kecil
2 cawan tepung gandum
1/2st soda bikarbonat
1/4st baking powder
1 cawan gula pasir ( saya kurangkan sikit)
2 biji telur
1/2 cawan air
1sb susu tepung/serbuk krim kelapa (saya guna susu tepung)
1 cawan kelapa parut putih (ni saya tambah)
secubit garam
sedikit esen vanilla

Caranya:
1. Blender lobak merah dengan air dan susu hingga halus.
2. Masuk dalam bekas, campur semua bahan, gaul rata. Perapkan selama 30 minit
3. Panaskan minyak dalam kuali, ambil sedikit adunan, masuk dlm kuali dan goreng dengan api perlahan.(goreng macam cekodok biasa.)

Selasa, 23 Oktober 2012

Roti Pandan Berinti Kelapa



Assalamualaikum. Hari ni mood meroti. Dah lama tak meroti.....ada permintaan orang dlm rumah ni....nak inti kelapa. Inti dah buat minggu lepas tapi....nak buat kene tunggu mood, kalau tak bentat nanti. Kalau hati kata nanti dulu....jawabnya jgnlah buat!!!!!.. Resepi roti ni saya dah share dalam bulan lepas, sama je cuma saya tambahkan pandan paste dalam 2 sudu kecik. Yg saya guna tu memang warnanya dah menyerlah so, tak yahlah tambah pewarna hijau lagi. Inti kelapa tu, buatlah mcm biasa.







                                 Kebetulan ada orang datang, yang ni rezeki dia!!!!!!




Isnin, 22 Oktober 2012

Mee Hailam




Assalamualaikum.....berjumpa lagi kita ye, selagi nadi berdenyut!!!!!. Mlm ni menu ringkas je.....ada permintaan suruh buat mee hailam. Mee kuning tak de, gune je mee hoon.....licin gak!!!!!. Sebenarnya buat mee hailam ni senang je....cuma nak rasa lebih 'menggigit'.....minyak kene panas betul2 dan bila menumis tu, kuali kene mengiring sikit. Bila masukkan bhn tumis dan rencah, biar api masuk dalam kuali. Wpun tak besar api yg masuk tu mcm cina masak, dpt sedikit pun oklah.....janji ada rasa hangit2 gitu!!!!!. Rasa 'hangit' tu lah yg membezakan mee hailam atau mee kicap...hahaha!!!!. Jom intai bahan yg simple dan senang je ni......













MEE HAILAM


Bahannya:

mee kuning @ mee hoon secukupnya
1 biji bawang putih(diketuk)
sedikit kicap hitam @ kicap manis
sedikit minyak
** tumis bawang putih, masukkan mee dan kicap, goreng sebentar. Dah sebati, ketepikan. Kalau guna mee hoon, rendam dulu baru goreng.


 minyak masak
 minyak bijan sedikit
 2biji bawang putih ( diketuk)
sedikit halia, (dihiris)
serbuk lada hitam secukupnya
serbuk lada sulah ajishio secukupnya
1 kiub pati ayam
1 biji telur (dipukul sedikit)
sos tiram secukupnya
2sb tepung jagung atau secukupnya (dicampur ngan air)
isi ayam secukupnya (tambah bahan2 lain ex: udang, sotong dsbnya)
fish cake @ seumpamanya secukupnya ( fish ball dll)
sayur secukupnya (carrot, saleri, sawi dll)

Caranya:
1. Panaskan minyak masak dan minyak bijan hingga betul2 panas dan berasap.
2. Mengiringkan sedikit kuali, masuk bawang putih, halia dan isi ayam, goreng hingga hingga wangi dan berbau hangit.
3. Masukkan sos tiram, serbuk lada hitam dan lada sulah, kacar rata. Masukkan air secukupnya.
4. Masukkan kiub ayam, carrot dan fish cake. Biar mendidih.
5. Masukkan air bancuhan tepung jagung, bila mendidih masukkan telur sambil dikacau rata.
6. Masukkan sayur sayuran dan rasa masin dan manisnya. Kalau terlalu pekat, tambah air sedikit lagi.
7. Dah masak, curah atas mee dan sedap dimakan dengan lada jeruk

Kek Epal Berkurma





Assalamualaikum. Dah beberapa hari ni hujan je.....hari ni baru nampak matahari. Syukur alhamdulillah....baju dijemuran semuanya kering. Kerje2 yg lain pun boleh beres ngan cepat. Ada time nk buat kek ni....yg dah lama saya intai kat buku masakan Chef Wan. Saya teruje nk rasa bila dalam kek tu ada epal, kurma dan walnut. Tapi saya tukar badam, tu aje yg ada kat rumah ni. Tapi saya tak copy semua, ambik inspirasi bahan2 tadi je dalam kek saya. Rasanya sedap....manis2 masam tapi tk terasa sangat masamnya. Sesapa yg suka kek ada letak buah, leh cuba kek ni.....











KEK EPAL BERKURMA
Resepi olahan : UDA

Bahannya:

2 cawan tepung gandum
1st baking powder
1st baking soda
1st garam
** ayak kesmua bahan ni, ketepikan dulu.

1 1/2 cawan gula castor
1 cawan minyak masak
4 biji telur
2st perasa oren
1st vanilla
2 1/2 cawan epal hijau (didadu)
1/2 cawan kurma (dibuang biji dan dipotong kecik2)
1/2 cawan badam cincang

Caranya:

1. Panaskan oven 180C. Lengser loyang bulat 8x8in.
2. Satukan gula, telur, minyak dan perasa.....pukul guna whisk hingga halus dan rata.
3. masukkan epal, kurma dan badam, kacau rata.
4. masukkan adunan tersebut kedalam tepung dan kacau sebati.
5. Bakar selama 45 minit atau hingga masak.

Puyuh Masak Gulai Bagar



Assalamualaikum.... Apasal lak gambar ni mengiring.....hahaha!!!!. Tak kisah lah tu.....janji nampak bentuk burung. Biasanya burung puyuh ni goreng kunyit je.....goreng garing2, makan panas2....wow!!!!! tak sedar 3@4 ekor dah dalam perut. Oleh kerana nak makan ngan nasi beringin, saya try masak gulai bagar ni.  Rasanya sedap, seakan2 rendang pun ada cuma banyak guna cili padi. Sapa yg suka pedas, memang ngamlah tu!!!. Resepi asal guna daging rusuk kambing. Rencah ditumis kemudian masukkan kambing, biar empuk. Tapi saya guna burung puyuh so, saya goreng je dulu puyuh tu. Jom kita intai resepi ni.....



PUYUH MASAK GULAI BAGAR
Sumber : Jelita Oktober 2001
Olahan : UDA


Bahannya:
8 ekor burung puyuh(dilumur ngan garam n kunyit, kemudian goreng)
5sb margerin @ minyak sapi
2cawan santan
1 keping asam keping
4 helai daun limau purut
1 kiub stok ayam
garam dan gula secukupnya

Bahan kisar:
8 biji bawang merah
6 biji bawang putih
sedikit kunyit basah
sedikit lengkuas
segenggam cili padi
4 tangkai lada merah
2 batang serai
sedikit halia
3 biji buah keras


Caranya:
1. Tumis semua bahan kisar hingga garing, masukkan santan, asam keping kiub ayam. Biar mendidih.
2. Masukkan puyuh, daun limau dan biar hingga pekat.
3. Rasakan garam dan gula.


Ahad, 21 Oktober 2012

Nasi Beringin



Assalamualaikum dan jumpa lagi. Masak apa tengahari ni?. Biasanya, hujung2 minggu ni masak special sikit. Macam2 dh terpikir nk masak apa tapi, suami nk makan nasi beringin. Selalunya kalau nk makan nasi ni, beli je kat satu warung tu.....memang sedap nasi beringin dia. Belek punya belek.....terbekenan resepi kat blog che mat gebu. Yang lain2 tu simple sangat tp kat Dapur Tanpa Sempadan.....ada kelainan sikit. Apa lagi, bersilatlah hari ni ngan nasi beringin ni. Rasanya memang sedap tapi suami kata....sedap lagi kat tempat yg selalu dia beli.  Eeemmmm.......saya tengok makan bertambah2 dan licin periuk tu.   Saje lah tu....hehehe!!!. Jom kita intai resepi ni yg dah saya tokok tambah dan kurangkan apa yg patut.....


NASI BERINGIN
Sumber : Dapur Tanpa Sempadan
Olahan : UDA

Bahannya:
2 cawan beras basmathi (rendam 20 minit dan toskan)
1 1/2 cawan susu cair ( che mat pakai santan)
1 1/2 air
2 helai daun pandan
2 batang serai dititik
2sb butter @ minyak sapi
1/2st garam
1/2 sb sebuk ketumbar
1/2 sb serbuk jintan manis
sedikit serbuk kunyit
1 kiub stok ayam
1 biji bawang besar (dihiris)
4 ulas bawang putih (ditumbuk)
2sm halia (ditumbuk)
1sb badam (dikisar halus)


Caranya:
1. Beras, susu cair dan air disatukan dalam rice cooker, ketepikan.
2. Panaskan butter, tumis daun pandan,bawang hiris dan serai hingga harum. Kemudian masukkan bahan tumbuk dan rempah, tumis hingga garing dan wangi.Masukkan garam dan kiub ayam.
3. Tuang rempah dlm rice cooker tadi, masak nasi macam biasa.




Kerabu Epal Hijau





Assalamualaikum. Hari ni saya nk share kerabu epal. Memandangkan stok epal masih ada....lom habis2 lagi, so teringin nk buat kerabu ni. Kebetulan hari ni masak nasi beringin, tak de timun dan nenas nk buat acar, saya buat je kerabu ni. Berbeza ngan kerabu pelam, kerabu epal ni memang sedap dan rangup bila dimakan.Jom intai....macam mana saya buat kerabu yg simple tapi sedap ni....


KERABU EPAL HIJAU
Resepi : UDA

Bahannya:
2 biji epal hijau (dipotong panjang2)
lobak merah secukupnya (dipotong panjang2 dan nipis)
1 batang bunga kantan (hiris nipis2)
1 tangkai lada merah(potong bulat2)
sos chili Thai secukupnya ( Maepranom Brand)

Caranya:
Campurkan semua bahan, gaul rata. Tambah garam, gula dan air limau jika perlu. Kalau nak pedas lagi, letak cili padi. Tapi, jika pakai sos thai brand maepranom ni....semua rasa dah cukup, tinggal makan je.....

Kuih Cara Coklat





Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ni teringin nk buat kuih cara tp bukan cara pandan mcm yg biasa tu. Tetiba datang idea nk buat kuih ni guna serbuk koko dan coklat chip. Bila dah buat tu....ingatkan tak laku. Rupa2nya licin.....siap anak buat permintaan....suruh buat lagi. Lain kali ye...... Jom...sesapa yg teringin nk makan kuih cara coklat ni, saya share resepi ni disini....








KUIH CARA COKLAT
Resepi:UDA


Bahannya:
2 cawan tepung gandum
1/4 - 1/2 cawan serbuk koko
2 1/2 sb gula pasir
1 biji telur
1 1/2 cawan susu cair
1 1/2 cawan air
sedikit garam
coklat chip @ coklat masakan secukupnya
minyak untuk menggris acuan

Caranya:
1. Blender semua bahan kecuali coklat chip dan minyak hingga halus.
2. Panaskan acuan dan griskan minyak.
3. Bila dah panas, bubuh adunan dan letak coklat chip (3/4 biji) atas adunan. Ambil lidi, tekankan sikit coklat tu supaya tenggelam. Tutup adunan tu, biar masak dan garing bahagian bawah, baru angkat.



Jumaat, 19 Oktober 2012

Quiche Makanan Laut






Assalamualaikum. Kali ni nk kongsi resepi pastri yg rangup dan sedap......sesapa yg suka makanan laut, sukalah. Tetapi yg tak suka tu, boleh tukar inti lain. Kita yg buat dia!!!!!!. Resepi asal dari Chef Wan tetapi saya dah ubahsuai ikut selera saya. Adunan pastri pun saya kurangkan, memandangkan saya ada acuan saiz 8in dan nak buat sebiji je. Sesapa yg minat ngan pastri pedas, jom kita intai........






QUICHE MAKANAN LAUT
Resepi Olahan : UDA


Bahan pastri:
250gm tepung gandum
sedikit garam
1/2 st serbuk kari
1 tangkai daun sup (dicincang)
115gm butter sejuk (didadu)
air secukupnya

Caranya:
1. Satukan semua bahan kecuali butter dan air. Gaul rata.(saya guna mixer)
2. Masukkan butter, adun hingga menjadi serbuk roti.
3. Masukkan air sikit2 dan adun hingga boleh dikepal sahaja. Tak perlu adun lama2 @ terlebih uli.
4. Canai doh dan letakkan doh dlm acuan pai.
5. Kemaskan keliling acuan pai, lebihan potong dgn pisau. Cucuk permukaan doh dgn garpu supaya pastri tidak mengelembung nanti.
6. 'Blind bake' pastri hingga keemasan.
*BLIND BAKE ----letakkan kertas timah pada permukaan doh dan taburkan kacang merah atau beras supaya berat. Apabila pastri dah keemasan, keluarkan kertas timah dan kekacang tu.....

Bahan inti:
1sb butter untuk menumis
1 biji bawang holland (dicincang)
1 biji bawang putih (dicincang)
1st rempah kari
1sb serbuk lada hitam
3batang jejari ketam(dipotong2)
2ekor sotong (dipotong2)
1cawan udang geragau basah
2tangkai daun sup (dipotong2)
2biji telur
1/2 cawan susu cair
garam secukupnya

*INTI-----terpulang mengikut kreativiti masing2

Caranya:
1. Panaskan butter, tumis bawang holland dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan serbuk kari, serbuk lada hitam dan kacau rata.
3. Masukkan jejari ketam, sotong dan udang geragau. Rasakan masinnye sbb biasanya kalau letak udang geragau, tk perlu banyak garam sbb udang tu dah sedia masin.
4. Masukkan inti dalam pastri yg dah kuning keemasan tadi.
5. Pukul telur, susu cair hingga sebati. Masukkan daun sup. Kemudian tuang pada inti pastri tadi.
6. Bakar pastri selama 30 minit pada suhu 170C atau bila kita cucuk pada adunan telur dgn lidi, dah tak melekat.


SELAMAT MENCUBA





Khamis, 18 Oktober 2012

Laksa Sarawak




Assalamualaikum dan salam jumaat. Hari ni hujan lagi. Orang kata, kalau hujan hari jumaat.....berpanjangan hingga ke esok hari. Tak kisahlah....hujan ke panas ke, tu semua anugerah Allah. Kita kene terima dengan rasa berlapang dada.Hujan2 ni, makan yg berkuah dan panas2 sedap. Hari ni no nasi!!!!!. Kita makan laksa sarawak je. Dah lama mengidam nak makan dan buat sendiri. Akhirnya.....pada hari penghulu segala hari, baru dapat makan. Resepi ni saya copy dari DayangJack@DapurKu SaYang. Saya ikut keseluruhan apa yg ada kat resepi tu.....nk merasa macam mana sedapnya laksa sarawak ni.Cuma, saya tak ikut cara memasaknya 100%. So, tak nak pukul bantai ikut selera sendiri je kecuali saya tak de guna daun ketumbar (mls nk gi pasar). Bila dah merasainya.....ooooo boleh tahan sedap. Anak pun makan bertambah2 wpun mulanya mcm tak confident je dia boleh habiskan. Sesapa yg nak mencuba....tak rugi sbb laksa ni lain dari yg lain termasuklah dari segi bahan bahannya. Jom kita intai.....mana tahu ada yg nk masak laksa ni pada raya haji nanti!!!!!.


LAKSA SARAWAK
Sumber:DayangJack@DapurKu SaYang

Bahan untuk dimesin (A)
8biji bawang merah
4biji bawang putih
12 tangkai lada kering
1inci lengkuas
1sk ketumbar
1sk jintan manis
1sk jintan putih
3biji buah keras
1inci belacan bakar(saya guna belacan biasa je)
1/4 cawan kacang tanah digoreng
1/4 cawan bijan digoreng tanpa minyak
*

Bahan (B)
isi ayam secukupnya(direbus dan disiat2)
1/2 kg udang basah
1bungkus mee hoon (direbus dan ditoskan) - saya guna setengah bungkus je
4 biji telur(didadarkan dan potong nipis)
2 batang serai (diketuk)
250ml santan pekat
taugeh (dicelur)
sedikit daun ketumbar dihiris (sya tak letak)
limau kasturi (belah 2)
garam dan gula secukupnya.

Caranya:
1. Tumis bahan yang dimesin hingga keperangan dan wangi.
2. Dalam periuk, rebus udang dan serai bersama 2 liter air. Bila dah masak, toskan udang dan ketepikan.
3. Dalam air udang tadi, masukkan bahan yg ditumis dan masak hingga mendidih dengan api perlahan. Jika pekat, tambah air lagi.
4. Masukkan santan dan perasa dan masak lagi hingga mendidih.
5. Cara nak menghidangkannya, letak mee hoon dalam mangkuk, bubuh udang, isi ayam, telur, limau dan taugeh. Jirus kuah laksa. Jika nak pedas dan untuk menyedapkan lagi, makan bersama sambal udang kering.

SAMBAL UDANG KERING

6biji bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit belacan
segenggam udang kering
5sudu makan cili kisar (saya guna lada kering)
sedikit air asam jawa
garam dan gula

* blender kesemua bahan kecuali air asam jawa, gula dan garam. Tumis hingga pecah minyak. Perasakan garam dan air asam jawa. Masak hingga pekat.


SELAMAT MENCUBA

Puding labu





Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ni nk jumpa seseorang, puas memikir apa yg patut nk buatkan untuk 'buah tangan'. Emmm......tengok ada labu, gula melaka pun ada. Apa lagi, puding labulah jawabnya!!!!. Puding ni asalnya resepi dari bloger Indonesia tapi tak ingat sapa, dah lama saya copy dan dah banyak kali membuatnya. Kalau ikut resepi asal, habis punah puding saya.....adunan gula melaka bersatu ngan adunan labu.So, saya pun menambahlah apa2 yg patut. Adunan labu tu memang lembut sbb dicampur dgn meringue......lembut dan ringan je. Kene hati2 bila nk letak adunan gula melaka tu. Kalau menjadi......memang cun kejadiannya!!!!. Jom kita intai.......


PUDING LABU
Olahan:UDA


Bahan A:
200gm labu kuning(direbus dan dilecek halus)
300ml santan
50gm gula pasir
2 1/2st serbuk agar2
1st serbuk jelly
1 helai daul pandan
pewarna kuning

Bahan B:
3 biji putih telur
1/4st garam
50gm gula pasir


Caranya:
1. Masak bahan A hingga mendidih. Ketepikan.
2. Guna mixer, pukul bahan B hingga gebu (pukul telur + garam dulu baru masuk gula)
3. Bila dah gebu, masuk bahan A ke dalam bahan B, pukul sebati.
4. Masuk adunan kedalam acuan pilihan dan sejukkkan dlm peti ais.
5. Pastikan adunan tersebut betul2 memenuhi ruang dlm acuan, jangan ada lompong.
6. Bila dah betul2 sejuk dan mengeras, baru masak gula melaka.


Bahan Gula Melaka:
500ml air
125gm gula merah @ gula melaka
2st serbuk agar2
1st serbuk jelly 1helai daun pandan

Caranya:
1. Masak gula, air dan daun pandan hingga mendidih dan gula larut. Tapiskan.
2. Masak semula, campurkan agar2 dan jelly. Masak hingga mendidih.
3. Keluarkan adunan labu dari peti ais, curahkan perlahan2 adunan gula melaka (curah ketika masih panas).
4. Pastikan dalam acuan, adunan labu bhg bawah dan adunan gula melaka di atas.
5. Jika adunan gula melaka turun ke bahagian bawah bemakna, ada bahagian yg lompang atau adunan labu belum betul2 sejuk so, ia akan terapung.



SELAMAT MENCUBA










Kuih Lapis Keledek




Assalamualaikum dan salam khamis. Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari....begitulah keadaannya hari ni. Ingatkan panas, maka hari ni terlebih rajin nk buat kuih yg boleh sejukkan tekak. Tapi tak pe...hujan pun hujanlah, dah siap kukus pun kuih ni....ngap je lah!!!!!. Selagi keledek kat rumah ni tak habis, selagi itulah mencari apa2 kuih yg boleh selitkan keledek sekali dalamnya....hahaha!!!. Maka datanglah idea nk melapis keledek ni. Resepi asal....kuih lapis berwarna warni. Saya copy dari rakan FB. Saya yg memandai mengolah resepi ni. Senang je membuatnya...Jom kita intai.....








KUIH LAPIS KELEDEK
Olahan: UDA

Bahannya:
2cawan keledek oren (didadu dan direbus)
4cawan santan
4sb tepung kastard
4sb tepung beras
2cawan tepung gandum
1st vanilla
1st garam
1cawan gula pasir
pewarna

Caranya:
1. Blender semua bahan kecuali keledek dan pewarna.
2. Tapis dan bahagikan kepada 3 bahagian. 1 bhg warnakan purple, 1 bhg warnakan pink dan satu bhb biarkan warna asal dan dicampurkan dgn keledek rebus. Panaskan air kukusan.
3. Guna acuan lompang, sapukan sedikit minyak.
4. Ambil 1 sb adunan purple, masukkan dlm acuan, kukus 5 minit. Kemudian letak 1 sb adunan yg ada keledek, kukus 5 minit. Akhir sekali ambil 1 sb adunan pink, kukus 10 minit @ hingga masak.

Sotong Masak Kuning




Assalamualaikum. Hari ni kita layan sotong masak kuning. Saya ada masukkan epal hijau dlm masakan ni. Itu semua gara2 nk nambat hati anak yg tak gemar makan epal hijau ni. Kalau dibuat jus, laju je.....Kalau dah masukkan epal, tak payahlah masukkan asam keping lagi. Nampaknya 'idea' saya ni menjadi, laju je anak saya  makan sotong ngan epal hijau tu. Kalau dh campur dalam masakan, tak berapa masam....masam2 manis gitu!!!!. Jom intai resepi ni.....








SOTONG MASAK KUNING

Bahannya:
8 ekor sotong sederhana besar (dipotong bulat)
1/2 biji epal hijau (dipotong2)
3 helai daun limau purut (dihiris2)
5tangkai cili padi(potong2)
2 tangkai lada merah(dipotong2)
1/2 cawan santan pekat
gula dan garam secukupnya

Bahan dimesin:
1 tangkai lada merah
1/2 in kunyit basah
1sb ketumbar
2biji buah keras
2biji bawang merah
2biji bawang putih
1btng serai
sedikit lengkuas

Caranya:
1. Tumis bahan yg dimesin hingga wangi.
2. Masukkan daun limau, garam, gula, epal dan santan, biar mendidih.
3. Masukkan sotong, cili padi dan lada merah. Dah masak terus angkat, jangan lama nanti liat.

Rabu, 17 Oktober 2012

Carrot Cake Sunquick





Assalamualaikum. Hari ni paksa merajinkan diri sendiri. Ada seseorang nakkan resepi kek yg sedap ni. Dah beberapa hari asyik bertangguh je, hari ni sempat gak buat. Dah ada ni.....jangan tk buat ye!!!!. Resepi ni saya ambik dari youtube omputih....sapa, saya dah tak ingat sbb dh lama. Saya dh ubahsuai ikut selera saya seisi keluarga. Kalau nk makan tak nak ada cream dia pun tak pe.....still sedap. Jom kita intai....













CARROT CAKE SUNQUICK
Olahan : UDA


Bahan A:
2 cawan tepung gandum
1st baking soda
1st baking powder
1st garam
1 1/2 cawan gula halus

Bahan B
1 cawan minyak masak
4 biji telur
5st base oren sunquick
3 cawan carrot (diparut halus)

Caranya:
1. Satukan bahan A, ketepikan.
2. Satukan bahan B, kemudian campurkan dalam bahan A.
3. Guna loyang 8x8in, bakar selama 45 minit atau hingga masak pada suhu 180C.
4. Dah masak, sejukkan dulu baru sapukan cheese cream(jika suka).


Bahan Cream:
250gm cream cheese
4sb butter
1/3 cawan gula halus
1 st bes oren sunquick


Caranya:
Pukul cheese hingga berkrim. Masukkan butter, pukul rata. Kemudian masukkan gula dan bes oren, pukul rata.











Jejari Roti




Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ni 1 Zulhijjah....sesapa yg berpuasa, selamat berpuasa. Kalau boleh, berpuasalah hingga 9 Zulhijjah, besar pahalanya. Bila cakap pasal berpuasa, macam2 terpikir, apa nak makan masa brbuka. Ada orang suka berbuka dengan makan yg berat, ada yg sebaliknya, ambil yg ringan2 dulu. Apa kata, cuba resepi roti ni.....sedap sangat!!!!. Resepi ni saya jumpa kat majalah lama2. Saya tak ikut 100% sbb, guna apa yg ada kat rumah je. Senang membuatnya. Jom kita intai resepi ni.....








JEJARI ROTI
Sumber: Majalah Jelita Januari 1998
Olahan : UDA

Bahannya:

Roti putih secukupnya (potong 3)
Bijan secukupnya
1 biji telur (dipukul guna whisk)
1cawan udang popeye basah
2 tangkai daun sup (dipotong2)
serbuk lada hitam @ lada sulah Ajishio
2sb tepung jagung
1sb sos tiram


Caranya:
1. Campurkan udang, daun sup, lada hitam @ lada sulah, tepung jagung dan sos tiram kedalam telur yg telah di pukul tadi hingga menjadi pes. Gaul rata dan rasakan garamnya.
2. Ambil roti yg di potong tadi, bubuh pes diatasnya dan tabur bijan.Buat sampai habis pes.
3. Simpan dalam peti ais selama 30 minit, keluarkan dan goreng dalam minyak hingga kekuningan.
4. Sedap dimakan dengan sos ketika masih panas.







Isnin, 15 Oktober 2012

Pau Kentang Berinti Ayam


Assalamualaikum dan selamat pagi. Eeemmm......mengepau lagi nampaknya!!!!!. Selagi seisi rumah lom jemu. Hari ni try pau kentang pulak. Alhamdulillah......menjadi semuanya, tak berkedut seribu!!!. Usaha itu tangga kejayaan....hahaha. Inti ayam tu atas permintaan.....so, ikutkan aje. Resepi pau masih saya copy Rahelblog cuma saya olah ikut kesesuaian. Jom kita intai......






PAU KENTANG BERINTI DAGING

Bahan :
380gm tepung pau
3/4st serbuk penaik
1 1/2st yis mauripan
230gm kentang (direbus dan dilecek halus)
1 1/2sb shortening
1 1/2sb susu tepung
4sb gula halus
150ml air
pewarna kuning

Caranya:
1. Masukkan semua bahan kering kecuali air, shortening dan kentang dlm bekas dan gaul sebati.
2. Masukkan pula shortening dan kentang, gaul rata hingga berderai (menyerupai serbuk roti)
3. Masukkan air sikit2 dan pewarna kuning, uli hingga sebati dan licin selama 15 minit (guna mixer)
4. Biar doh mengembang semala 20 minit kemudian kempiskan (buang angin)
5. Ambil adunan, timbang setiap satu berapa gram supaya sama besarnya (saya timbang 26gm).
6. Leperkan, masukkan inti kemudian tutup, bentukkan bulat. Biarkan selama 1 jam.
7. Kukus dengan api yg kecil selama 5 - 8 minit.


Bahan inti:
2 keping dada ayam (didadu)
1 biji kentang- kalau kecil 2bj (didadu dan direbus)
2 biji bawang putih (ditumbuk halus)
sedikit halia(ditumbuk halus)
1 biji bawang merah (ditumbuk halus)
2sb rempah kari
sedikit serbuk lada hitam
garam dan gula secukupnya.

Caranya:
1. Tumis bahan yg ditumbuk halus hingga wangi. Masukkan rempah kari yg dibancuh dgn sedikit air. 
2. Masukkan ayam, gaul rata hingga ayam masak. 
3. Masukkan kentang dan serbuk lada hitam, masak hingga rata. Rasakan garam dan gula. Sejukkan. 



Ahad, 14 Oktober 2012

Pau Keledek Oren




Assalamualaikum dan jumpa lagi. Minum petang apa hari ini?.  Saya intai2 kat Rahel blog.....b
erkenan kat pau keledek dia yg gebu tu. Selalunya, kalau buat pau ni.....tang mengukusnya tu selalu 'fail'. Lembut tu memanglah lembut tapi rupanya kedut seribu. Itu yg membuatkan malas nk mengepau...hehehe. Hari ni cuba lagi......hasilnya....mula2 masih kedut seribu tapi, yg second tu oklah!!!!!!. Bolehlah tayang kat sini...hehehe. Yang sebetulnya, kita kene pandai adjust api air kukusan tu. Tak pe.....lain kali kene usaha lagi, biar betul2 cun!!!!. Saya guna keledek oren dan nak nampakkan lagi keayuannya, saya tambahkan setitik warna oren. Pau ni memang lembut....tq Rahel.... Saya share disini pula ye.....




             Yang ni saya letakkan paper cup dlm acuan muffin




PAU KELEDEK OREN
Sumber : Rahelblog


Bahan:
250gm tepung pau (ayak)
1/2 st serbuk penaik
1st yis segera
150gm keledek, direbus & dilecek (saya guna keledek oren)
1sb shortening
1sb susu tepung
3sb gula castor
110ml air
pewarna oren (yang ni saya tambah)

*saya guna inti kacang merah

Cara:
1. Tepung pau, serbuk penaik, yis, susu tepung dan gula, disatukan dlm mangkuk, gaul rata. (saya guna mangkuk mixer dan uli guna mixer)
2. Tambahkan shortening, keledek dan gaul rata menyerupai serbuk roti.
3. Tuang air sikit2 sambil digaul rata. Uli selama 15 minit.
4. Tutup doh dan biar mengembang selama 20 minit.Bila dah naik, buangkan angin dia.
5. Timbang setiap satu 40gm, bentukkan bulat dan biarkan 10 minit.
6. Canai doh, leperkan dan isikan inti . Bentukkan bulat dan letakkan atas paper cup.
7. Biar mengembng selama 1 jam dan kukus selama 10 minit ( saya kukus 5-8 minit je).

Apple Crumble Muffin








Assalamualaikum. Semuga semuanya ceria walaupun hari ni hujan. Kalau dah hujan....perut mesti lapar je. Jengok dlm peti ais ada epal hijau. Nak buat jus, tak sesuai hujan2 ni. Teringat muffin ni yg dah lama tak buat. Muffin ni special sikit, selain ada epal didalamnya, ada crumble diatasnya. Bila tergigit crumble tu.....sedapnya....sesuai dgn muffin ni yg tak berapa manis. Resepi ni saya copy dari Kak Yati. Saya share di sini pula ye....JOM.....














APPLE CRUMBLE MUFFIN
Sumber : Yatimemories

Bahan Untuk Crumble:
1/3 cawan gula perang, dipadatkan
2sb tepung gandum
1/8st serbuk kayu manis (sya tak letak)
1sb butter

* Satukan bahan2 crumble, gaul rata dengan hujung jari sehingga menjadi seakan2 serbuk roti yg kasar. Ketepikan.

Bahan muffin:
1 3/4 cawan tepung berserbuk penaik
1st baking powder
1/3 cawan gula halus
75gm butter cair/minyak
1 biji telur
1st esen vanilla
3/4 cawan susu segar / susu cair
2 biji epal  hijau (buang kulit dan empulur dan didadu)

Caranya:
1. Panaskan oven pada suhu 200C.
2. Satukan tepung, baking powder dan gula halus, gaul rata dan ketepikan.
3. Dalam bekas lain, satukan butter, telur, susu dan esen vanilla, kacau rata guna whisk sahaja.
4. Bila dah rata, masukkan tepung tadi dan gaul rata. Guna satu arah sahaja.
5. Masukkan epal dan gaul sekali lagi hingga rata.
6. Sudukan dalam papper cup....3/4 penuh. Taburkan crumble tadi dan tekan2 sikit. Bakar selama 25 minit atau sehingga masak.

Ikan Senangin Masak Steam






IKAN SENANGIN MASAK STEAM


Bahannya:
2 ekor ikan senangin (sederhana besar)
air limau nipis secukupnya
serbuk lada sulah Ajishio secukupnya
sos ikan secukupnya
air secukupnya
3 batang serai (dititik)

Bahan dihiris:
3 in halia
3 biji bawang putih
1biji bawang holland
1/2 batang lobak merah
1 biji tomato
3 helai daun limau
daun sup secukupnya
7 biji cili padi


Caranya:
1. Ikan dibersihkan kemudian dikelar. Masuk dalam bekas untuk dikukus.
2. Masukkan semua bahan kemudian dikukus hingga masak.
3. Rasa masam, masin dan pedas.....ikut cita rasa masing2 ye.....

Jumaat, 12 Oktober 2012

Nasi Goreng Lada Hitam Berserai







Assalamualaikum dan selamat pagi. Sarapan apa pagi ni?. Saya dh lama tk menggoreng nasi sbb tak de permintaan. Pagi ni baru ada so, pikir punya pikir.....saya buatlah nasi goreng yg kene dengan selera anak saya tu. Ayam goreng tak de k!!!!!. So, ganti ngan ikan bawal goreng ngan keropok goreng......hai....licin nampaknya, suruh buat lagi untuk mkn tengahari. No no no.......masak yg sama jemu.......nnti masak yg lain ok?. Jom kita intai resepi nasi goreng ni.......


NASI GORENG LADA HITAM BERSERAI

Bahannya:

2 mangkuk sup nasi
6 tangkai cili padi (ditumbuk kasar)
2 biji bawang putih (ditumbuk kasar)
2 batang serai (dihiris halus)
1biji bawang besar (dihiris kasar)
3helai daun limau (dihiris halus)
sedikit belacan ditumbuk(jika suka)
serbuk lada hitam secukupnya
1 batang saleri(dipotong2)
sos ikan secukupnya
2sb sos tiram
1biji telur
minyak secukupnya


Caranya:
1. Tumis bawang besar, daun limau dan serai hingga wangi.
2. Masukan bahan yg ditumbuk, masak hingga garing.
3. Masukkan sos tiram, kacau sebati, masukkan nasi, serbuk lada hitam dan saleri.
4. Masukkan telur, kacau rata dan masukkan sos ikan.
5. Masak hingga semuanya sebati.
6. Sedap dimakan bersama keropok goreng, ikan goreng @ ayam goreng. 

Stew Ayam
















STEW AYAM

Bahannya:
 2 keping dada ayam (potong kecil)
2 biji bawang putih (cincang halus)
1 in halia (cincang halus)
1/2 batang lobak merah (belah 2, potong serong)
1/2 batang saleri (potong serong) 
brokoli secukupnya
1 biji tomato (dibelah 8)
1sb tepung gandum
2sb margerin
serbuk lada sulah Ajishio secukupnya
1/2 kiub ayam
air secukupnya


Caranya:
1. Panaskan margerin, tumiskan bawang putih dan halia hingga wangi.
2. Masukkan ayam, kacau rata kemudian masukkan tepung gandum sambil dikacau2 supaya tak bergentel.Masukkan air.
3. Masukkan kiub ayam, serbuk lada sulah, lobak merah, saleri. Masak hingga mendidih.
4. Masukkan brokoli dan tomato. Rasakan masin dan kepekatan kuah ikut citarasa masing2.
5. Sedap dimakan begitu sahaja ,makan dengan makaroni atau roti.



















Ayam percik lada hitam





Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ni mood tk berapa bagus, tak berapa sihat. Ada hati konon, nak masak itu nak masak ini tp bila teringat akan 'warning' dari orang2 yg tersayang.....suruh rehatlah tu......semuanya terbantut. Nak masak untuk mkn sendiri pun malas rasanya. Dah petang baru 'angin rajin' tu datang sikit2. Petang tadi teringin nak makan ayam percik lada hitam ni. Ini semua gara2 ternampak resepi ni kat buku Chef Hanieliza ( 1 Hari 1 Resepi).  Saya guna kepak ayam sbb seisi rumah memang suka kepak ayam......sedap, dah licin ayam tu. Ada permintaan.....esok suruh buat lagi. Tengok mood ye!!!!!!. Jom kita kongsi resepi yg sedap ni.....


AYAM PERCIK LADA HITAM
Sumber: Chef Hanieliza


Bahannya:
1 ekor ayam- potong 4 bahagian (saya guna kepak, 8 ketul)
2 cawan santan (saya guna 1 cawan)
1 batang serai (diketuk)
3 keping asam gelugur (saya tk letak)
garam secukup rasa (saya guna 1 kiub ayam)

Bahan kisar:
2 sb lada hitam (saya guna serbuk)
5 biji cili api
5 biji bawang merah(saya letak 3 biji je)
2 ulas bawang putih
3 in halia
1in lengkuas
1 in kunyit hidup
3 batang serai (saya tk letak)


Caranya:
1. Cuci bersih ayam, masuk dlm kuali bersama2 dengan semua bahan. Biar mendidih.
2. Bila ayam sudah sebati dan kuahnya dah pekat, angkat ayam.
3. Panggang ayam hingga garing......tak kisahlah panggang kat oven ke, atas dapur ke....
4. Bila dah garing, angkat dan jiruskan baki kuah yg pekat tadi atas ayam.
5. Sedap dimakan masih panas2.




Rabu, 10 Oktober 2012

Kerang Bersambal Cencaluk










Assalamualaikum. Hari ni mendung je......tapi jangan cepat sangat 'tadah tempayan'.....takut panas hingga ke petang.. Bila cuaca mcm ni, makan yg pedas2 dan panas2 sangatlah bestnya!!!!. Saya masak kerang cencaluk hari ni....Biasanya cencaluk ni orang makan ngan lada hiris dan bawang hiris, perah limau sambal. Tapi, dibuat sambal ikan , kerang dsbnya pun sedap. Kalau ikan bakar, sambal ikan tu letak cencaluk...perghhhhh.......sedap tu!!!!!. Jom kita intai......Saya buat sikit je ni, untuk sekali makan je.....


KERANG BERSAMBAL CENCALUK

Bahannya:
Semangkuk kerang (dah direbus dan kulit dibuang separuh je)
2 biji bawang putih(cincang)
sedikit halia(cincang)
3sb lada mesin
1tangkai lada hijau(potong2)
5 tangkai cili padi(potong2)
2 helai daun limau(hiris2)
2sb cencaluk
1sb sos cili 
1/2 biji bawang holland(didadu)

Caranya:
1. Tumis bawang putih dan halia.Dah wangi, masukkan lada mesin, tumis hingga garing.
2. Masukkan cencaluk, cili padi, bawang holland, daun limau, sos cili, masak hingga sebati.
3. Masukkan kerang, gaul rata dan rasakan masinnya. Kalau tawar tambah garam sebab biasanya tak perlu tambah garam sbb cencaluk dah masin.



Kek Coklat Puding Karamel


Assalamualaikum......selamat tengahari. Masak apa hari ni?. Hari ni saya masak bubur ayam je sbb mlm nk keluar. Memandangkan hr ni tak sibuk memasak, saya pun apa lagi.......bukak langkah nak menerai kek ni. Sebelum ni terliur tengok kat blog lain yg dh menayang kek coklat karamel masing2. Hari ni rasa puas sangat dapat membuatnya sendiri. Tapi saya buat versi kukus.....elok je kejadiannya. Cuma, lain kali nk guna loyang empat segi pulak(8 x 8). Yang ni saya guna loyang bulat (8x8), nampak meninggi @ terlalu tinggi pulak. Apa2 pun.....cun gak (puji sendiri huhuhu!!!!). Ok, jom intai macam mana agaknya resepi saya ni......


KEK COKLAT PUDING KARAMEL

Bahan puding karamel:

3sb gula pasir
3sb air
*masak gula dgn 1sb air dalam loyang. Bila dah hancur dan mula keperangan, tambah air lagi dan biar pekat.Ketepikan.

1/2 tin susu cair
1/2 cawan gula
1/2 cawan air
4 biji telur(dipukul halus guna whisk)
vanilla
pewarna kuning

Caranya:
Panaskan kukusan.
Gula dan air diblender hingga hancur. Tuang dlm bekas, campurkan telur, susu cair, vanilla dan pewarna. Kemudian tapis. Masukan adunan kedalam loyang karamel tadi....kukus dalam 20 minit.



Bahan kek coklat:
sumber: Myresepi.com

1 cawan gula perang
1 cawan susu cair
1 cawan minyak
3/4 cawan serbuk koko 
1/2 cawan susu pekat manis
11/4 cawan tepung gandum
1st b.powder
1st b.soda 
3biji telur(pukul hingga kembang)
1st perasa kopi(jika suka)

Caranya:
!. Tepung diayak bersama b.powder n b.soda, ketepikan.
2. Dalam periuk, masukkan semua bahan kecuali tepung dan telur. Kacau atas api yg kecil hingga sebati dan mendidi . Angkat.
3. Campurkan telur, kacau sebati.(guna whisk je)
4. Masukkan pula tepung, kacau sampai sebati.
5. Tuang adunan atas puding karamel yg dalam kukusan tadi, kukus selama 1 jam. Ataupun, bila cucuk ngan lidi dah bersih atau licin je lidi tu.
6. Tunggu betul2 sejuk baru diterbalikkan atau keluarkan dari loyang.


SELAMAT MENCUBA